Hai semua, apa khabar anda semua? Putera Kudat berharap anda
dalam keadaan yang baik saja ketika ini. Kali ini PK akan berkongsi satu
fenomena yang unik dan sering terjadi di Daerah Kudat, tidak kira waktu pagi atau
tengah hari dan petang. Fenomena ini adalah bahasa isyarat lalulintas di Kudat.
Jika anda pernah berkunjung atau menetap di Semenanjung Malaysia, fenomena ini
amat berlainan sekali dengan fenomena yang biasa terjadi di Kudat.
Bahasa isyarat lalulintas yang pertama adalah membunyikan hon ketika kenderaan yang dipandu berselisih dengan kenderaan kawan. Majoriti penduduk Kudat amat sinonim dengan budaya ini malah boleh kedengaran pelbagai irama hon pada pelbagai jenis kenderaan, ada yang menghasilkan bunyi hon yang tajam hingga menyakitkan telinga dan ada juga bunyi hon yang sederhana dan ada juga bunyi hon yang berbentuk garau serta ada juga bunyi hon yang boleh bersiul. Post kali ini amat sesuai untuk mereka yang bukan penduduk daerah Kudat, mereka yang bercadang hendak ke Kudat, ataupun kepada generasi muda Kudat yang lahir di Kudat tetapi telah bermastautin.
- Hon yang amat singkat atau pendek. Kebiasaanya sebelum seseorang itu berangkat pergi meninggalkan seseorang atau lebih, terlebih dahulu pemandu tersebut akan membunyikan hon yang amat singkat atau pendek. Maksud hon tersebut adalah pemandu tersebut akan memulakan perjalanan dan memberitahu niat beliau melalui hon tersebut.
- Hon yang pendek dan hanya sekali ataupun berulang-ulang. Sah itu van mini cari penumpang. Majoriti pemandu van mini akan sering membunyikan hon apabila melihat seseorang atau lebih orang melalui kawasan mereka atau mereka melalui perhentian bas. Maksud hon ini adalah bertanya kepada orang itu memerlukan pengangkutan untuk pulang atau hendak pergi ke suatu lokasi.
- Hon yang panjang dan berulang-ulang. Jika anda sedang memandu dan sedang berada di daerah Kudat lalu mendengar hon sedemikan, pastikan anda serta-merta melihat keadaan sekeliling anda. Kerana mungkin anda telah menghalang laluan seseorang. Sila alihkan kenderaan anda secepat mungkin jika kenderaan anda menghalang laluan orang tersebut serta mengangkat tangan berserta senyuman tanda maaf.
- Hon hanya sekali tetapi memanjang. Hon seperti ini biasanya berlaku semasa para van mini berselisih dengan yang lain. Hon ini bermaksud pemandu kedua van mini ini adalah kenal antara satu. Semasa hon inilah akan kedengaran pelbagai jenis hon berbunyi.
Penggunaan hon ini juga sinonim dengan bandar-bandar yang
lain seperti bandar Kota Marudu, bandar Kota Belud, dan banyak lagi di Sabah.
Bestkan bahasa jalan raya di Kudat, oleh itu sila pastikan kenderaan anda
mempunyai hon yang paling macho ataupun paling comel bila berada di daerah
Kudat okeeey..
Bahasa isyarat lalulintas yang kedua di Kudat adalah
penggunaan lampu utama kenderaan pada waktu siang hari. Kebiasaannya para
pemandu mengenal satu sama yang lain kenderaan tersebut. Semasa bertembung
dengan kenderaan yang lain pemandu tersebut akan menyalakan lampu, ataupun
semasa sedang mengekori kenderaan di depan. Berikut adalah contoh-contoh
penggunaan lampu utama dan maksudnya yang tersendiri;
- Nyalaan lampu yang agak lama, kekadang cuma menyalakan sebelah lampu sahaja. Kebiasaanya para pemandu ini saling kenal antara satu dengan yang lain. Kebiasaannya fenomena ini berlaku apabila para pemandu berselisih di suatu jalan yang lurus dan agak panjang. Salah seorang akan menyalakan lampu (kekadang hampir serentak menyalakan lampu) sehingga kenderaan benar-benar sudah melepasi yang lain berulah lampu ini dipadamkan. Maksud nyalaan lampu ini menunjukan jalinan persahabatan pemandu tersebut amat baik. Dan juga maksud nyalaan lampu ini agar pemandu tersebut berada dalam keadaan yang baik.
- Nyalaan lampu berkelip-kelip. Jika anda berada di Kudat dan sedang menunggu pengangkutan untuk ke pekan, anda akan mendapati ada kenderaan yang akan menyalakan lampu utama berkali-kali atau berkelip-kelip. Maksud nyalaan itu adalah pertanyan dari pemandu kenderaan tersebut, pemandu itu bertanya pada kita bahawa adakah kita memerlukan perkhidmatan pengangkutan.
- Nyalakan lampu berkelip-kelip dua hingga tiga kali. Oleh kerana jalan raya di Kudat jenis dua hala sahaja maka memotong kenderaan di hadapan agak berbahaya. Apabila anda sedang memandu dan tiba-tiba ada kenderaan menyalakan lampu utamanya sebanyak dua hingga tiga kali di belakang kenderaan anda, ia bermaksud ingin memotong kenderaan anda. Cara nyalaan lampu ini juga merupakan isyarat pemandu kepada pemandu di hadapan bahawa kenderaannya mengalami masalah. Masalah yang sering terjadi adalah muatan hampir jatuh atau ada yang mencurigakan.
Bahasa isyarat lalulintas ketiga yang sering
dilakukan oleh majoriti pemandu kenderaan di Kudat adalah memberikan lambaian tangan (give five). Lambaian tangan ini sering
dilakukan bersama-sama dengan senyuman ataupun perkataan singkat yang
seakan-akan marah kerana bercakap secara berteriak. Berikut adalah
contoh-contoh isyarat atau bahasa jalan yang sering dilakukan di Kudat;
- Lambaian tangan hingga kelihatan kelima-lima jari (give five). Apabila anda menaiki van mini di Kudat, anda pasti akan mendapati pemandu melambaikan tangan dengan meletakkan tangan mereka di atas stering kereta. Jika anda perhatikan kenderaan yang bertentangan dengan pemandu tadi, anda akan mendapati pemandu yang di depan juga akan melakukan perkara yang sama.
- Lambaian tangan seterusnya menunjukkan isyarat bagus (thumb up). Apabila anda melihat pemandu kenderaan di Kudat melambaikan tangan lalu menunjukkan isyarat bagus, mereka sebenarnya sedang berinteraksi antara satu dengan yang lain. maksud isyarat tersebut sebenarnya bertanya keadaan masing-masing.